Berita & Foto: Pelita Brunei

MENTERI Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid hadir di Majlis Bertadarus Malam-malam Bulan Ramadan bagi Tahun 1446 Hijrah / 2025 Masihi bagi malam ke-12 di Surau, Istana Nurul Iman. (Foto: Pelita Brunei)
BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 12 Mac. – Majlis Bertadarus Malam-Malam Bulan Ramadan bagi Tahun 1446 Hijrah / 2025 Masihi diteruskan lagi bagi malam ke-12 di Surau, Istana Nurul Iman.
Hadir pada majlis tersebut ialah Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid.
Majlis dimulakan dengan menunaikan Sembahyang Fardu Isyak Berjemaah yang diimamkan oleh Yang Dimuliakan Begawan Pehin Khatib Dato Paduka Haji Suhaili bin Haji Metali Al-Hafiz dan seterusnya mengerjakan Sembahyang Sunat Tarawih Berjemaah diimamkan oleh Awang Mohammad Aizat bin Haji Ahmad manakala, doa dibacakan oleh Yang Dimuliakan Begawan Pehin Khatib Dato Paduka Haji Suhaili.
Kemudian, majlis juga diserikan dengan tazkirah bertajuk Fadhilat / Kelebihan Surah Al-Mulk' masing-masing disampaikan oleh Pengiran Haji Jufri bin Pengiran Haji Hidup bagi jemaah lelaki dan bagi jemaah perempuan oleh Penolong Pegawai Perkembangan Ugama, Pusat Da'wah Islamiah, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Dayang Siti Noraziah binti Haji Asli.
Majlis diteruskan dengan bacaan Surah Al-Fatihah, disusuli dengan bacaan Tadarus Al-Quran dan kemudian diakhiri dengan bacaan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam.


ANTARA warga Kementerian Pembangunan yang hadir. (Foto: Pelita Brunei)
Turut hadir pada majlis berkenaan ialah 800 orang terdiri daripada pegawai dan kakitangan dari Kementerian Pembangunan dan pegawai serta guru ugama dari Jabatan Pengajian Islam.